SEX BERSIH DOSA

SHAH ALAM: Pengikut satu kumpulan ajaran sesat yang popular dengan amalan zikir laga lutut, boleh dianggap lebih hina daripada binatang apabila sanggup bertukar isteri dengan pengikut lain, kononnya untuk membersihkan dosa dan menambah pahala.
Kumpulan terbabit yang beroperasi di sekitar Klang, dikesan sering menjadikan pasangan suami isteri bermasalah dan suka hidup berfoya-foya sebagai sasaran bagi memudahkan urusan ‘menambah pahala’ dijalankan dengan lebih meluas sesama pengikut.
Amalan bertukar isteri untuk dijadikan pelampias nafsu dilakukan sejurus wirid secara beramai-ramai sambil memuja tok guru songsang itu selesai dijalankan.
Ketika berwirid, pengikut turut dibenarkan meraba pengikut wanita tanpa halangan bagi membangkitkan keghairahan sebelum tok guru memberikan mereka peluang melakukan hubungan seks bebas.
Mendedahkan kemunculan kumpulan ajaran sesat baru itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil, berkata ketika berwirid, tok guru terbabit akan menghampiri mana-mana pengikutnya untuk wirid bersama.
“Mereka berwirid secara berpasangan. Pengikut lelaki dikehendaki duduk secara berlaga lutut dengan pengikut wanita.
“Kemudian, tok guru datang dan duduk di tengah-tengah antara mereka sebelum memilih pasangan bagi setiap pengikut lelaki dan wanita. Mereka kemudian dibenarkan bermesra sejurus selesai berwirid,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.
Menurut Abdul Rahman, tok guru sesat itu akan mengulangi perbuatan sama kepada semua pengikutnya sebelum dia sendiri memilih wanita sesuai untuknya bersetubuh, termasuk isteri pengikut kumpulan terbabit.
Bagaimanapun, wanita yang bakal bersama tok guru dimestikan mempunyai ciri-ciri tertentu seperti berwajah menawan dan memiliki bentuk badan menggiurkan.
“Apabila urusan pemilihan pasangan selesai, tok guru akan memberi arahan kepada pengikutnya supaya memalapkan lampu ruangan dan berzikir secara perlahan-lahan.
“Pengikut yang sudah diberikan pasangan masing-masing kemudian diminta berpindah ke ruangan lain yang sudah dikhaskan untuk mereka melakukan hubungan seks,” katanya.
Tok guru songsang itu juga melakukan perkara sama dan akhirnya kawasan berwirid dibiarkan kosong.
Selesai melakukan hubungan haram itu, pasangan terbabit dikehendaki kembali semula ke ruang wirid.
Tok guru itu kemudian memberikan syarahan berkaitan kepentingan ajaran sesat terbabit selain apa yang perlu dilakukan pengikut untuk menambah pahala serta menarik lebih ramai pengikut.
“Kegiatan terbabit berlaku beberapa ketika lalu dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang memantau pergerakan kumpulan itu.
“Kami berharap, orang Islam tidak terpedaya dengan pelbagai dakyah kumpulan ajaran sesat terbabit kerana mereka hanya mahu mengambil kesempatan manakala ajarannya pula cukup mengarut, malah tidak masuk akal,” katanya.
Abdul Rahman turut menggesa pengikut ajaran sesat itu supaya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan amalan songsang itu diminta menjauhinya selain memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Sumber Harian Metro